Saturday, May 23, 2009

CONTOH PENULISAN KARANGAN: KEMELUT AKIBAT KEKURANGAN BAHAN MAKANAN DUNIA



Prakata

Dalam suku pertama dan kedua tahun 2008, masalah krisis makanan dunia telah mendapat perhatian seluruh negara dunia. Antara perkara yang turut menjadi perhatian dalam kemelut peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia adalah juga merupakan faktor penyebabnya. Di Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, telah membuat tunjuk perasaan memprotes situasi tersebut pada suku pertama 2008. Manakala, beberapa hari sebelum itu akhbar telah melaporkan bahawa para petani di Argentina telah melancarkan mogok kerana membantah dekri presiden pada 11 Mac 2008 yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan turut juga mengenakan duti baru ke atas eksport barangan makanan ruji yang lain


Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah memberi amaran bahawa peningkatan harga makanan yang berterusan dunia boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan suasana politik di seluruh pelosok dunia.


Sekilas Fakta

Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu yang remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijiran dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya, pada tahun 2007, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah keadaannya sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia belum terkesan dengan fenomena ini secara kritikal, namun berdasarkan 'trend' ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil boleh melanda negara kita jika kita alpa mengenainya. Justeru kesedaran rakyat dalam menjayakan proses menyelesaikan krisis makanan ini harus bermula dari hari ini lagi .


Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi lebih kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkatkan dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik hasil kajian Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 700% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras kenaikan tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu.Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis yang telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbedung kepada negara-negara tertentu sahaja.


Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia apabila kita dapat menyaksikan ketidakpuasan hati terhadap kemelut yang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. Rusuhan telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga makanan yang meningkat sebanyak 400%. Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengatakan bahawa di kebanyakan negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih dua kali ke tiga kali ganda untuk makanan akibat daripada kemelut ini. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan.


Punca Krisis

Pakar ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan ialah antara alasan yang telah dijadikan sebagai punca berlakunya kekurangan makanan di dunia hari ini. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 billion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang pastinya tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti tanah untuk bercucuk tanam dan juga bekalan air yang bersih untuk pengairan penanaman. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga telah dikatakan sebagai faktor penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia dan juga permintaan bahan makanan dunia.


Keadaan ini juga telah dikatakan menjadi bertambah rumit lagi apabila faktor kebolehan pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam seperti El Nino dan La Nina, pencemaran alam sekitar dan perubahan yang ketara pada iklim “rumah hijau” dunia secara keseluruhan. Australia telah dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 dan telah menyebabkan hasil pengeluaran gandumnya menyusut sebanyak 55%. Hasil penuaian daripada China juga telah menyaksikan penurunan sebanyak 15% sepanjang pemantauan daripada Januari 2000. Faktor-faktor ini adalah dikatakan menjadi penyebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yanag boleh diperolehi oleh penduduk dunia pada hari ini.


Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barangan makanan juga telah dikaitkan dengan “kesan penggandaan” kepada beban yang telah pun sedia terhasil akibat daripada kemelut ini. Hal ini adalah kerana, apabila harga barangan makanan meningkat, maka akan menjadi semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut selari dengan sistem ekonomi kapitalis dunia yang digunapakai pada hari ini. Kenaikan harga barangan ini telah dikaitkan dengan kenaikan harga minyak dunia dan juga bahan tenaga yang lain yang menjadi keperluan untuk memproses daripada bahan mentah asalnya, mengilang produk dan kos pengangkutan barangan makanan tersebut kepada penjual dan pengguna.


Di samping itu, penghasilan bahan api bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekaligus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan makanan manusia dunia. Pada tahun lepas sahaja 30% daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan Ethanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio) dan jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 70% pasaran jagung dunia.


Hakikatnya atau faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan jikalau dikatakan kekurangan bekalan makanan masih berlaku sekalipun apabila sebenarnya tahap pengeluaran makanan dunia pula bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk dunia sedangkan jika dibandingkan antara jumlah penduduk dunia pada tahun 1961 dan 2005 kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Akan tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda. Hal ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah pena’kulan yang meleset.


Untuk isu perubahan tabiat makanan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh sebab manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak ataupun sebenarnya manusia zaman sekarang ini "membazir" dengan lebih banyak?


Akan tetapi jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa-sisa makanan penduduk dunia kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 billion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayur-sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang.


Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun, bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberikan kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjang sehingga surutnya jumlah makanan dunia. Sebagai contoh, di Malaysia, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada dalam krisis makanan. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, masalah ini sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisyen.


Begitu juga dengan permasalahan-permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahan api bio. Fenomena ini sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah dan perkara itu belum lagi mengambil kira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (future market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tamak dan tidak realistik.


Penyelesaian

Strategi pendekatan asas ini adalah berasaskan kekuatan-kekuatan asas yang terdapat dalam dunia. Kekuatan tersebut adalah: Tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber tenaga manusia yang banyak dan kekayaan dari sumber alam semula jadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat dalam dunia usaha pertanian akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan sistem pertanian melalui penerapan nilai proaktif. Hal ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan secara meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan.Selain itu, sistem pengangkutan yang efisyen juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.


Dari aspek sumber air, tuhan telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum manusia. Di dunia, terdapat lebih daripada 150 billion meter padu air permukaan (sungai,tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Namun sumber ini perlu diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.


Penutup

Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan dengan secepat mungkin dan terbaik mampu. Langkah-langkah kerajaan Malaysia untuk mengadakan jumlah pengeluaran makanan perlu disahut oleh semua peringkat masyarakat Malaysia. Projek menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Kedua Negara akan mampu kelak mengurangkan kebergantungan kita kepada beras import dari luar negara. Usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion pertanian serta membuka lebih banyak lagi kawasan yang baru serta juga usaha kerajaan untuk meningkatkan kajian dalam bidang pertanian bio-teknologi negara wajar diberikan tumpuan yang lebih oleh semua pihak.


Natijahnya, cara untuk menyelesaikan krisis makanan pada peringkat negara, adalah dengan cara kita mengurangkan atau menamatkan terus pergantungan kita kepada pihak luar untuk sumber-sumber tersebut. Oleh itu, marlah kita menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan semula sistem ‘Buku Hijau’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Kita juga mestilah mampu berdikari dalam semua aspek demi meniti arus pembangunan dunia dan cabarannya seperti yang sentiasa diterapka oleh mantan Perdana Menteri Keempat kita iaitu YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kita juga perlu mengambil serius pendekatan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kelima iaitu YBhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha beliau untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang hasil bumi bertuah ini jika diusahakan dan juga usaha beliau untuk memartabatkan Industri Pertanian Negara melalui pendekatan moden seperti bio-teknologi dan juga pertanian secara moden dengan menggunapakai teknologi moden dan jentera peralatan yang canggih.


Akhir kata, marilah kita sentiasa mengingati pesanan kelima-lima Perdana Menteri kita bahawa kita perlu menghargai dan bersyukur dengan segala rezeki kita dan menghentikan pembaziran lantas memelihara dan memulihara alam sekitar kita, demi masa depan kita. Seperti kata Perdana Menteri kita, bahawa kegiatan ‘future trading’ bahan makanan ruji dunia seperti gandum dan beras mesti dihentikan serta merta oleh dunia. Hal ini adalah kerana jika dibiarkan berterusan para spekulator ini akan akhirnya membawa musibah seperti yang telah dilakukan oleh mereka kepada harga minyak dunia kepada harga pasaran makanan dunia pula. Kita tidak akan mewariskan alam sekitar kita kepada anak cucu kita kelak kerana sebenarnya kita hanya meminjamknya daripada anak cucu kita. Oleh itu, mari kita pulangkan semula yang terbaik kepada generasi mereka.


‘Alam Sekitar Tanggungjawab Kita Semua’

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU KEPADA WARGA PENDIDIK SELURUH TANAH AIR ISTIMEWA JUGA UNTUK WARGA PENDIDIK NEGARA YANG TELAH BERSARA.


Eh, hari 16 Mei....hari guru rupanya!

Banyak dapat BUNGA?
* Tanda tugas guru mengharumkan dunia.

Banyak dapat PEN?
*Tanda guru bijak melakar kata.

Banyak dapat PEMADAM?
*Tanda guru sentiasa membetulkan yang dusta.

Dapat MESEJ?
*Tanda guru sentiasa di ingatan!

SELAMAT HARI GURU!
Guru Pembina Negara Bangsa.

Mesej daripada: Cik Zahrah MSAB(EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Semoga cerdikmu, secerdik Aisyah.
Pengorbananmu, setinggi Sumaiyah.
Ikhlasmu, seikhlas Rabiatul Adawiyah.
Semoga tempatmu, di syurga Al Jannah.

SELAMAT HARI GURU!

Mesej daripada: Puan Rashimah MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


T - Tolarable
E - Extravaganza
A - Ambitious
C - Cheerful
H - Heartiest
E - Exceptional
R - Responsible

You are a true TEACHER...
Happy Teachers' Day!

Mesej daripada : Cik Azlena MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Rose
-';--<@ Orchid ( ) (_*_) /(_) Tulip (') (')(') III all pretty flowers....but none compare.... 2 the beauty of a teacher like you. HAPPY TEACHERS' DAY!

Mesej daripada: Puan Chitra SMKSF Melaka (SFI)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Byk dapat BUNGA?
:) Tanda tugas guru mengharumkan dunia.
Dapat PEN?
;P Tanda guru bijak melakar kata.
Dapat PEMADAM?
;O Tanda guru sentiasa membetulkan yang dusta.
Dapat MESEJ?
:B Tanda guru sentiasa di ingatan!
Dapat COKLAT?
Tanda guru suka didampingi.
Dapat CEMUHAN?
Tanda guru insan yang sabar dan akan sentiasa dirahmati Allah.

SELAMAT HARI GURU!
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA!


Mesej daripada: Puan Feshah MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


GURU, dalam ajarnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam diam ada bijaksana,
Berbahagialah menjadi GURU!

Selamat Hari Guru 2009

Mesej daripada: Cik Farizan MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


./TT_I'''''''''''''''''''I
'-'O'-'O-------O''

Poooonnn!!
PoonNNNN!!

Tepi2...!!

Kenderaan berat nak lalu...
Nak hantar kontena
ucapan khas.....

SELAMAT HARI GURU!

Mesej daripada: Puan Mazni MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


"Ingatkan campak rupanya jerawat batu,
Ngajar bagai nak rak, budak2 buat tak tau,
Rasa mcm nak cekak takut kena serbu....
Banyakkan bersabar...Kitakan CIKGU!"

SELAMAT HARI GURU!

Mesej daripada: Puan Fazlind MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


SELAMAT HARI GURU!

Mesej daripada: Puan Zaiton MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


SELAMAT HARI GURU!
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA!

Mesej daripada: Cik Sharifah Rania - Pensyarah (Tahniah Daripada Kami!!) POLITEKNIK (KK)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


SELAMAT HARI GURU 2009 :)

Kumasih ingat cahayamu,
Kupasti genggam erat,
Segala apa yang kau tunjukkan,

Kepadaku,
Tiada dapat kulupakanmu,

Cuma satu pintaku,
Doakan supaya kuberjaya,
Merentasi hidup ini

Sampai bila pun kukenang,
Kerana engkaulah,
Guruku.

Mesej daripada: Cik Nurul Anida - Rhode Island U.S.A


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


HAPPY TEACHERS DAY!!!!

Mesej daripada: Cik Satyia - Universiti Utara Malaysia.


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Jadilah guru yang hadirnya dinanti dan perginya dirindui
kerana mencari guru yang setia dan jujur ibarat mencari
sebutir permata di sebalik timbunan kaca.

SELAMAT HARI GURU dan terima kasih atas segala-galanya!

Mesej daripada: Tuan Haji Aminolhuda PK Pentadbiran MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo

* * *
\ | /
SELAMAT HARI GURU!
**********************
/ | \
* * *

Mesej daripada: Puan Hjh. Nathrah KJ Sains dan Matematik MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


For all the THINGS you do,
For all the SACRIFICES you make,
For all the CARE you show....
it has made you a WONDERFUL teacher!

HAPPY TEACHERS DAY!

Mesej daripada: Puan Sharifah Azah KJ Sains Kemasyarakatan SMKBBU, JB


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Selamat Hari Guru!

Mesej daripada: Dr. Azalina Bakri


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Ada orang mengatakan guru umpama "GARAM YANG MURAH TETAPI PENTING".
Oleh itu, ayuh sama-sama kita jadi guru yang berdedikasi agar kita menjadi...
= PERMATA YANG DIPUJA DAN DIPELIHARA.
Insyaallah. SELAMAT HARI GURU!


Mesej daripada: Puan Hjh. Normah KJ Sains Kemasyarakatan MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Without TEACHERS -
dayz are....

sadday,
moanday,
tearsday,
wasteday,
thirstday,
fightday,
shatterday....

HAPPY TEACHERS DAY TO YOU!

AND...

A doctor saves lives,
A lawyer defends lives,
A soldier protects lives....But
a TEACHER touches lives.

HAPPY TEACHERS DAY!
Enjoy The Day!


Mesej daripada: Tuan Haji Zulkipli Pengetua Cemerlang Sekolah Kluster MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


You are ABCDEFGH!

A- An Attractive TEACHER
B- A Brillint TEACHER
C- A Cute TEACHER
D- A dazzling TEACHER
E- An Excellent TEACHER
F- A Farvourite TEACHER
G- A Great TEACHER
H- A Hot and Spicy TEACHER

HAPPY TEACHERS DAY!


Mesej daripada: Puan Hjh. Ruzidah MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


ONLY OPEN HEARTS RECEIVE LOVE,
ONLY OPEN MINDS RECEIVE WISDOM,
ONLY OPEN HANDS RECEIVE GIFTS,
AND ONLY GOOD PERSON RECEIVES THIS MESSAGE!

HAPPY TEACHERS DAY!


Mesej daripada: Puan Mariyana Ketua Panitia BM MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Selamat Hari Guru.
Arigato Gozaimasu Cikgu!


Mesej daripada: Munierah - Tokyo, Japan


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Selamat Hari Guru!

Mesej daripada: Aisha King Saud University Hospital Riyadh KSA.


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


SELAMAT HARI GURU!

Mesej daripada: Puan Azizah PK Kokurikulum MSAB (EC)


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo


Happy Teachers Day Cikgu!!!

Mesej daripada: LHW - Sheffield The UK


xoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxoxo



SeLaMaT hArI GuRu
Semoga ceria2 selalu!

Mesej daripada: Sarinah 6 AF 08 MSAB (EC)

TIMANG TINGGI-TINGGI



Timang tinggi-tinggi,

Sampai cucur atap,

Belum tumbuh gigi,

Sudah pandai baca kitab.


Bait-bait inilah yang pastinya membuai enak tidur anda semasa kecil dulu. Tanpa menyedarinya, pada tahun ini sesetengah daripada anda akan mengakhiri zaman persekolahan di Maktab Sultan Abu Bakar. Semestinya harapan anda semua adalah untuk menjejakkan kaki ke menara gading di dalam negara mahu pun di luar negara. Di situlah nanti anda akan menimba lebih banyak ilmu sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah. Segulung ijazah dan segunung ilmu yang pastinya dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara tercinta.


Suatu ketika nanti ada daripada anda yang akan menjadi peguam terkenal, mewakili kes-kes berprofil tinggi. Mungkin juga ada yang akan menjadi doktor tersohor kerana telah berjaya menemukan vaksin untuk pelbagai jenis penyakit. Barangkali juga ada di antara anda yang mampu mendebarkan setiap jantung dan mengetarkan nadi seluruh warga dunia apabila menjadi angkasawan pertama menjejakkan kaki di Planet Marikh. Mungkin juga ramai di antara anda suatu hari kelak akan memegang sebuah Buku Rekod Mengajar dan dengan penuh lembut sabar serta dedikasi, mendidik anak bangsa pewaris kegemilangan dan keunggulan Malaysia. Sebagai warga Malaysia yang megah merdeka, kebarangkalian yang dijanjikan oleh masa depan anda adalah sedalam lautan biru, setinggi kerlipan bintang di malam hari dan seluas hamparan pasir Sahara. Bersyukurlah anda dibumi bertuah ini, impikanlah yang terindah dan ukirlah yang terbaik dalam setiap langkah demi masa depan anda sendiri.


Ketika menonton rancangan televisyen, kita acapkali dihidangkan dengan episod kehidupan manusia yang serba mencabar dan menduga. Tersentuh hati melihat mereka yang dalam keadaan terpaksa, menyuap siput babi ke mulut, untuk mengalas perut demi meneruskan kehidupan ini. Ada juga yang terpaksa berhenti sekolah dalam usia yang begitu muda untuk bekerja menyara keluarga. Betapa kisah-kisah ini memberi kesedaran tentang erti kemiskinan.


Manusia tidak akan memilih kemiskinan. Bahkan setiap insan mengimpikan kesenangan hidup yang diwarnai dengan kasih sayang dan sanjungan. Akan tetapi kemiskinan akan tetap mengekori setiap langkah biar ke mana-mana pun destinasi anda. Kemiskinan akan mencari peluang untuk bertapak dalam kehidupan mereka yang lalai serta alpa.


Masa adalah landasan untuk segala pencapaian. Masa tidak pernah memungkiri janjinya dan masa akan tetap berlalu dengan penuh setia tiada lalainya dan kitalah pengejarnya.


Pepatah lama ada menyebut, “masa adalah kekayaan sebenar”. Tidak mustahil akan hilang kekayaan dalam sekelip mata, tetapi dengan masa kita akan beroleh 1001 lagi jenis kekayaan di bumi serta bekalan untuk akhirat.


Justeru, pergunakanlah setiap detik persekolahan untuk membentuk diri, jiwa dan pekerti mulia dengan ilmu yang dicurahkan. Hargai setiap peluang dengan mengizinkan diri dididik dan diberi tunjuk ajar oleh insan yang bergelar guru. Lantas, dengan ketegasan katakan pada diri anda bahawa anda mahu belajar dan anda juga boleh diajar!


Dalam regim ekonomi terbuka seperti yang diamalkan segenap pelosok dunia hari ini, setiap negara memerlukan semua jenis tenaga kerja bagi semua tahap dan peringkat pekerjaan seperti tenaga kerja professional, tenaga kerja mahir dan tenaga kerja buruh untuk menggerakkan jentera ekonominya. Dalam usaha negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja buruh asing, suatu hari kelak semua pekerjaan akan diisi oleh anak tempatan sendiri. Daripada Pembantu restoran hinggalah ke Pengurus Bank, daripada Buruh Ladang Kelapa Sawit hinggalah ke Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur, semuanya akan bakal diisi oleh - ANDA!


Oleh itu, mulai dari hari ini pilihlah hala tuju anda. Idamkan yang terbaik dan olahkan impian itu dengan usaha dan tekad anda. Pastinya suatu hari kelak anda akan tersandar bangga di tempat duduk empuk kereta mewah milik anda dalam perjalanan ke pejabat anda di Menara Impian, Persiaran Jaya. Semua ini tidak mustahil. Andalah penentunya! Ataupun adakah anda sebenarnya akan menoleh sejenak ke arah kereta mewah berkilat yang menderu sebelum anda kembali meneruskan tugas menyapu kaki lima Persiaran Jaya? Pilihlah dan susurilah laluan anda dengan penuh kesyukuran, keinsafan, ketekunan dan keberanian. Nescaya kejayaan milik anda akan tersedia menanti.


Tokoh-tokoh yang pernah tersenarai sebagai individu 10 terkaya Asia, Tan Sri Syed Saleem al-Bukhari pernah bekerja sebagai kelasi kapal dan kemudiannya pula mengambil upah mencuci pinggan di Amerika Syarikat pada tahun 1949 bagi membiayai pembelajarannya di universiti. Taikun telekomunikasi, Tan Sri Ananda Krishnan pernah bekerja sebagai pelayan sebuah kedai makan untuk wang saku. Tan Sri Loh Boon Siew, tokoh industri automotif Malaysia pernah mengandar bakul menjual sayuran yang ditanamnya sendiri untuk mencari rezeki bagi memulakan penghidupan baru di bumi bertuah ini. Dengan kesedaran dan keinsafan, kesusahan akan akhirnya membawa kepada sajdah kejayaan.


Tentu sekali kisah sehebat ini pastinya ada dalam keluarga anda. Setiap satunya telah mengecapi kejayaan melalui liku-liku keperitan hidup yang menyayat hati. Namun mereka gigih berusaha, tekun berikhtiar dan tabah menghadapi segalanya. Bagi anda, hargai dan hayatilah titik peluh dan air mata pengorbanan mereka, kerana sesungguhnya air mata yang pernah mengalir membasahi pipi mereka kini terkandung di dalam diri anda. Sebagai anak waris kepada perjuangan ini, letakkan pada hati muda anda api kejayaan yang akan terus menyala sekalipun tika dibasahi hujan, dibahangi matahari, meskipun menggigil kedinginan salju ditanah asing, semarakkan api yang akan terus menerangi perjalanan anda ke mercu kejayaan!


Ketahui dan ingatlah bahawa setiap mereka yang pernah bergelar warga MSAB terpahat di jiwanya ungkapan Usaha dan Jasa! Labore et Honore! Bahawa sesungguhnya inilah kata-kata keramat Maktab Sultan Abu Bakar! Sematkan di hati biar kemana-mana saja takdir menetapkan anda ke arah memartabatkan diri, keluarga, maktab, agama, dan juga negara tercinta. Selamat Berjaya!



Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB (EC)



Monday, May 11, 2009

ANALISIS DRAMA PUTERI LI PO
















Gambar Istana Zaman Kesultanan Melayu Melaka



Analisis Drama ‘Puteri Li Po’ (Rahmah Bujang)

Sinopsis

Puteri Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Walaupun berkahwin dengan Sultan, Li Po tetap berasa sedih. Tuanku Puteri Li Po dipujuk oleh dayang-dayang dengan memberikan buah-buahan seperti rambutan. Li Po menjamah sedikit sahaja sebagai mengambil hati dayang. Li Po tertidur di taman dan bermimpi didatangi Sultan Mansur Syah yang menyerupai Jin Afrit. Li Po diberikan gelaran ‘ hang’ kerana Li Po pandai menyesuaikan dirinya di tempat yang amat asing baginya. Li Po meminta Tuanku Sultan berkirim salam kepada Maharaja Cina tetapi suaminya itu keberatan untuk berbuat demikian. Puteri Raden Galoh Cendera Kirana yang merupakan isteri ketiga sultan memberitahu raja Majapahit pernah terkena tulah kerana menyampaikan salam. Li Po jatuh hati kepada Hang Jebat. Tuanku puteri meminta Dang Wangi memberitahu Hang Jebat bahawa tuanku puteri ingin berjumpa dengannya. Puteri Li Po meluahkan rasa hatinya kepada Hang Jebat tetapi Hang Jebat menolaknya dengan baik. Dang Wangi memberitahu Li Po bahawa dialah kekasih hati Hang Jebat. Li Po terkejut kerana Dang Wangi tidak memberitahunya sejak awal lagi. Li Po menyesal akan perbuatannya. Sultan Mansur Syah gembira dengan perubahan sikap Li Po dan lebih gembira lagi apabila mendapat tahu Li Po kini berbadan dua.

Pemikiran

Dilema dan konflik seorang puteri yang berkahwin dengan pasangan yang berlainan budaya.

Persoalan

- Kedaulatan yang dimiliki oleh raja-raja Melayu

- Kesetiaan pembesar kepada Sultan

- Keagungan Kerajaan Melaka

- Kesetiaan isteri kepada suami

Watak dan Perwatakan

Puteri Li Po

- Isteri ke-4 Sultan Melaka

- Parasnya cantik/18 tahun

- Berani/berterus terang

- Menginsafi kesalahan diri

Hang Jebat

- Hulubalang Melaka

- Kekasih Dang Wangi

- Tegas pendirian

- Setia kepada sultan/Kerajaan Melaka

Dang Wangi

- Dayang istana Puteri Li Po

- Setia dan patuh

Sultan Mansor Syah

- Sultan Melaka abad ke-15

- Bijaksana

- Sabar/bertolak ansur

Latar

Latar Tempat

- Taman larangan istana

- Balai penghadapan

Latar Masa

- Zaman Kesultanan Melayu Melaka, kurun ke-15

- Waktu malam – Dang Wangi membawa dian ke bilik peraduan Puteri Li Po

Latar Masyarakat

- Masyarakat zaman Kesultanan Melayu Melaka

- Masyarakat yang setia kepada raja

- Masyarakat yang menjalinkan hubungan diplomatik

Nilai

- Kasih sayang – Sultan amat meyayangi isteri-isteri baginda

- Kesetiaan – Jebat setia kepada Raja dan Kerajaan Melaka

- Bijaksana – Puteri Li Po dapat menyesuaikan diri di tempat baharu

Pengajaran

- Kita hendaklah taat setia kepada raja

- Sebagai isteri, kita mestilah taat kepada suami

- Kita seharusnya pandai menyesuaikan diri di mana-mana kita berada







ANALISIS DRAMA KERUSI





















Analisis Drama ‘Kerusi’ (Hatta Azad Khan)

Sinopsis

Drama Kerusi ini mengisahkan Srisegala menduduki dan menguasai kerusi nikmat dan gong hikmat bersama-sama pengikutnya Tuta I, Tuta II dan Tuta III yang numpahkan sepenuh kesetiaan mereka kepada Srisegala. Srisegala berkuasa mengikut nafsu dan kepentingan diri tanpa memikirkan beban yang dipikul oleh rakyat. Dia menukar erti keadilan, kemakmuran, kedamaian, kejujuran dan belas kasihan mengikut takrifnya sendiri yang semuanya bererti satu penindasan dan kezaliman.Suara-suara protes daripada Wira I, Wira II dan Wira III mengejutkan Srisegala. Kemunculan Putra telah mencabar kedudukan Srisegala. Walau bagaimanapun Putra tewas di tangan Srisegala. Masayu, isteri Putra datang mencari Putra tetapi disambut sinis oleh Srisegala. Masayu merayu agar suaminya itu dibebaskan. Namun, kelembutan masayu tidak dapat melembutkan hati Srisegala sebaliknya Masayu telah terdaya dan terpukau oleh kuasa Srisegala. Wira-wira yang dulunya tewas di tangan Srisegala bangkit semula lalu mencari Putra untuk mendapatkan petunjuk merampas kerusi Srisegala. Akhirnya, mereka berjaya mengalahkan Srisegala. Kerusi nikmat diganti oleh Putra dan Masayu memukul gong hikmat.

Pemikiran
Sikap pemimpin yang tamak haloba dan suka menindas akan membawa kemusnahan
Persoalan
- Kekayaan dapat memebeli kesetiaan
- Kekuasaan dan kekayaan hanya bersifat sementara
- Pergorbanan dalam perjuangan
- Kebenaran mengatasi kebatilan

Watak dan Perwatakan
Putra
- Suami Masayu
- Matanya dibutakan oleh Srisegala
- Berani menentang Srisegala
-
Masayu
- Isteri Putra
- Sanggup berkorban
- Mudah terpedaya

Srisegala
- Pemerintah yang zalim
- Angkuh/sombong dengan kuasanya

Latar
Latar Tempat
- Mimbar bertingkat-tingkat – tempat Srisegala
- Berlaku pada bila-bila masa

Latar Masa
- Pada bila-bila masa

Latar Masyarakat
- Masyarakat bawahan yang sering ditindas
- Masyarakat yang berjuang menentang kezaliman
- Golongan yang setia kepada pemimpin

Nilai
- Bijaksana – Putra merancang strategi untuk menentang Srisegala
- Kasih sayang – Masayu sayang akan suaminya Putra
- Keberanian – Putra berani menentang Srisegala walaupun terpaksa berkorban

Pengajaran
- Rakyat hendaklah berani menentang kezaliman
- Sebagai pemimpin, kita mestilah adil dan tidak menindas orang yang lemah
- Kita tidak boleh mudah terpengaruh dengan harta kekayaan
- Kita mestilah bijak merancang strategi untuk melakukan sebarang tindakan

ANALISIS DRAMA JANGAN BUNUH RAMA-RAMA


























Analisis Drama ‘Jangan Bunuh Rama-Rama’ (Noordin Hassan)

Sinopsis

Drama ini mengisahkan kehidupan dan sifat-sifat dalam diri manusia yang sentiasa bertentangan antara kebaikan dan keburukan. Manusia perlu mempunyai iman yang kuat untuk membuat pilihan antara kedua-dua sifat ini. Hal ini digambarkan melalui watak Raja yang suka memburu rama-rama untuk memenuhi keinginan permaisurinya yang mementingkan diri sendiri. Ketika mengejar rama-rama yang kecil dan cantik, Raja terjatuh ke dalam telaga air panas. Air yang mendidih itu menjadi dingin dan nyaman apabila menolong mengipaskannya. Dalam kisah Wak Keletung pula menceritakan tentang Mek Bongsu yang leka diulit kemewahan setelah berkahwin dengan saudagar Syah Alam. Akhirnya dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai khalifah dan makhluk Tuhan. Sementara itu, Bidan Tuk Mah yang asalnya bernama Emas Asa Puteri Shahrul Karimah pula meninggalkan kemewahan dan gelarannya kerana mengikut Peran yang mengajarnya tentang hakikat kehidupan dan bahawa peranan manusia dijadikan Tuhan adalah untuk memberi manfaat dan membawa erti kepada diri sendiri, sesama manusia dan kepada Tuhan yang menjadikan makhluk dan isi alam.

Pemikiran
Keagamaan yang mendalam dapat menentukan arah pilihan yang betul

Persoalan
- Perbuatan jahat yang dibalas dengan kebaikan
- Manusia adalah sama di sisi Tuhan
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Watak dan Perwatakan
Nur Atma I dan II
- Perempuan tua yang banyak pengalaman
- Kurang penglihatan/pendengaran
- Peka terhadap persekitaran

Raja/Badut
- Lingkungan 35 tahun
- Raja yang kaya-raya
- Gemar memburu rama-rama
- Penyayang
- Insaf akan kesalahan

Bidan Tuk Mah
- Dikenali sebagai Emas Asa Puteri Shahrul Karimah
- Tidak mementingkan kedudukan dan status
- Mengikuti rombongan Peran
- Mendapat ilmu membidan dan mengubat orang sakit

Wak Keletung
- Tukang cerita
- Berdakwah melalui ceritanya

Latar
Latar Tempat
- Istana – Raja/Badut dan Permaisuri
- Telaga – tempat Raja tergelincir lalu jatuh
- Hutan – Raja mencari rama-rama
- Kampung – Peran bertapak di kampung ini

Latar Masa
- Waktu Subuh – sewaktu Raja diselamatkan oleh rama-rama
- Malam – Wak Keletung menceritakan Tuk mah menonton sebuah persembahan

Latar Masyarakat
- Golongan istana yang hidup mewah
- Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta benda
- Masyarakat yang sering membantu orang lain
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Nilai
- Kasih sayang – sesama makhluk termasuk rama-rama
- Belas kasihan – Raja mempunyai sifat ihsan kepada rama-rama yang dibunuh
- Bantu membantu – rama-rama menyelamatkan Raja

Pengajaran
- Kita mestilah kasih kepada semua makhluk
- Kita hendaklah membantu orang yang berada dalam kesusahan
- Kita mestilah menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan

Sunday, May 10, 2009

ANALISIS CERPEN DI SISI RINDA





Analisis Cerpen Di Sisi Rinda (A.Samad Said)


Sinopsis

Jumari Jipan menjaga seorang kanak-kanak kecil bernama Deliah atau lebih mesra di panggil Nen. Semua ahli keluarga Nen meninggal dunia kerana terkena bom. Nen kemudianya dibela oleh datuknya Ripin. Setelah Ripin meninggal dunia kerana terkena bom, Jumari Jipanlah yang bertanggungjawab memeliharanya. Jumari Jipan menghadiahkan Nen seekor kucing siam yang diberi nama Rinda dan dengan kucing itulah Nen berkawan. Nen seorang pengkhayal dan sering bercakap-cakap sendirian atau dengan kucingnya. Nen sering berkhayal tentang keris pusaka datuknya. Jumari Jipan menemui sebilah keris dan nen percaya itulah keris pusaka datuknya. Suatu hari, seorang askar Jepun ingin mencarikan pasangan untuk kucingnya. Dia ternampak Rinda lalu mengejarnya. Nen dan Rinda berlari ke jeti atas arahan Jumari Jipan. Tembakan askar Jepun itu terkena pada seorang kawannya. Jumari Jipan, Nen dan Rinda sampai di jeti. Jumari Jipan menyatakan keris yang ditemuinya itu telah hilang.


Tema

Penderitaan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan dalam zaman peperangan.


Persoalan

- Tanggungjawab menjaga anak yang yatim piatu

- Kasih sayang sesama makhluk

- Persahabatan yang ikhlas

- Kepercayaan kepada cerita dogeng dan mitos

Watak dan Perwatakan

Jumari Jipan (Tuk Juma)

- Datuk angkat Deliah

- Sahabat baik Ripin

- Penyayang

- Bersimpati

- Bertanggungjawab

Deliah

- Anak yatim piatu

- Berkulit putih/rambut kerinting/kening lebat/hidung mancung sedikit

- Cucu Ripin

- Sangat lincah

- Suka bercakap sendirian

- Penyayang – Rinda(kucing Siam)

Latar

Latar Tempat

- Dalam bot

- Di tepi muara

- Belukar senduduk

- Bekas khemah tentera rejimen Melayu

Latar Masa

- Zaman pendudukan Jepun

- Awal subuh – serangan bom yang menyebabkan Ripin terkorban

- Senja – semasa Jumari Jipan merenung ke laut dan mengimbas kenangan lalu

Latar Masyarakat

- Golongan penjajah yang rakus

- Masyarakat yang menjadi mangsa peperangan

- Masyarakat yang sangup memikul tanggungjawab

Nilai

- Kasih sayang – Tuk Juma memelihara Deliah dengan penuh kasih dan tanggungjawab

- Belas kasihan – Jumari Jipan bersimpati terhadap Deliah yang yatim piatu

- Keberanian – mengharungi laut yang penuh cabaran

Pengajaran

- Kita mestilah bersimpati dan membantu anak yatim piatu

- Kita hendaklah tabah mengahadapi dugaan hidup

- Kita patutlah ikhlas dalam menjalinkan persahabatan

- Kita mestilah kasih sesama makhluk

Saturday, May 9, 2009

ANALISIS CERPEN SEBUTIR PASIR DI KAKI



















Analisis Cerpen Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham Mustafa)


Sinopsis

Fuad yang baru balik dari Singapura terkejut kerana geran keluarganya telah diambil oleh Datuk Sukar. Fuad merasakan tindakan Datuk Sukar itu suatu penipuan kerana memperdayakan ibunya yang buta huruf. Selepas solat Maghrib, Fuad bergegas ke rumah Datuk Sukar. Tiba di dana Fuad disambut baik oleh Datin Sipah dan kekasihnya Junainah. Jam sepuluh malam Datuk Sukar sampai di rumah. Datin Sipah terus meminta suaminya memberikan penjelaskan tentang geran tanah pusaka milik keluarga Fuad. Datuk Sukar enggan memberikan geran tanah itu dengan alasan untuk membangunkan tanah pusaka tersebut. Fuad pula tidak berganjak daripada pendiriannya tidak mahu menerima tawaran Datuk Sukar yang sebanyak 280 ribu bagi tanah yang cuma 0.8 hektar itu. Akhirnya, terjadi konflik antara Datuk Sukar dengan Fuad. Datuk Sukar memberhentikan Fuad daripada bekerja dengannya dan melarang Fuad menjalinkan hubungan dengan Junainah. Fuad tidak peduli dengan ugutan tersebut lalu berjalan pulang sambil mengenggam geran tanah pusaka milik keluarganya. Sejurus kemudian, Datuk Sukar jatuh pengsan.

Tema

Perjuangan mempertahankan hak dan maruah

Persoalan

- Sikap mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain

- Hubungan cinta antara dua darjat

- Keberanian menegakkan kebenaran

Watak dan Perwatakan

Fuad

- 27 tahun

- Berkulit hitam manis

- Tegas/Keras hati

- Berani

- Bertanggungjawab

- Lekas marah/panas baran

Datuk Sukar

- 50 tahun

- Bertubuh gempal

- Ayah kepada Junainah dan suami kepada Datin Sipah

- Orang kaya yang berpengaruh

- Pandai menggunakan tipu muslihat

Latar

Latar Tempat

- Rumah Fuad

- Rumah Datuk Sukar

Latar Masa

- Waktu Maghrib – Fuad bersolat Maghrib

- Kira-kira jam 11.00 malam ketika Fuad bertemu Datuk Sukar

Latar Masyarakat

- Golongan miskin/buta huruf yang dianiayai oleh golongan kaya

- Masyarakat yang mementingkan maruah dan tanah pusaka

- Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta kekayaan

Nilai

- Keberanian – Fuad berani dan tegas dalam tindakannya

- Bertanggungjawab – Fuad bertanggungjawab terhadap harta pusaka milik keluarganya

- Jujur dan rendah diri – sikap Datin Sipah dan Junainah ketika melayan kedatangan Fuad

Pengajaran

- Kita hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap keluarga

- Kita harus berani mempertahankan hak kita

- Kita mestilah ikhlas dalam menjalinan persahabatan