Monday, March 29, 2010

Penggunaan Frasa yang Menarik dalam Karangan


Cadangan penggunaan frasa yang menarik dalam karangan atau juga dalam pertuturan harian anda seperti pemberita tersohor kita, Saudara Karam Singh Walia.

Dalam penulisan karangan, frasa yang menarik boleh diselitkan di mana-mana perenggan asalkan sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan. Beberapa contoh frasa yang ditunjukkan dibawah ini mungkin akan dapat dimanfaatkan oleh pelajar semasa menulis Karangan Bahagian A dan Karangan Bahagian B dalam peperiksaan SPM kelak.


1- Punca pengangguran siswazah dapat dikenal pasti bak kata pepatah, “ada angin ada pokoknya”.
Maksud frasa: Setiap masalah tentu ada sebabnya


2- Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, “kalau tiada angin bertiup masakan pohon boleh bergoyang”, bencana alam tentu akan mendatangkan kesan ekonomi dan masyarakat negara.
Maksud frasa: Setiap tindakan pasti mendatangkan kesan.

3- “Tak tumbuh, tak melata”, kesan buruk rancangan realiti di televisyen memang ada asasnya.
Maksud Frasa: Kalau ada yang bercakap, tentu ada benarnya.

4- Perancangan perlu dibuat terlebih dahulu kerana kita tahu bahawa “malang tidak berbau”.
Maksud Frasa: Kita perlu senantiasa beringat kerana bencana boleh menimpa pada bila-bila masa saja.

5- “Zaman beralih, musim bertukar” kenderaan Proton dan Perodua pada masa kini sering bertukar bentuk dan fesyen untuk menarik perhatian pembeli.
Maksud Frasa: Perubahan pasti berlaku mengikut peredaran masa.

6- “Sekali air bah, sekali pantai berubah”, corak pemerintahan bertukar wajah selepas negara kita mencapai kemerdekaan.
Maksud Frasa: Perubahan berlaku ekoran perubahan pucuk pimpinan.

7- “Ada gula, adalah semut” Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing kerana peluang pekerjaannya yang banyak.
Maksud Frasa: Di mana ada rezeki, pastinya di situ ada banyak orang.

8- Kafe siber wujud dengan banyaknya, “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”.
Maksud Frasa: Sesuatu yang mencul dengan banyak pada suatu masa yang sama.

9- “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”, pelbagai rancangan hiburan disiarkan untuk memenuhi kegemaran individu yang berbeza.
Maksud Frasa: Tiap-tiap orang mempunyai perangai, kegemaran, kecenderungan dan kemahuan yang berbeza.


10- Adat resam dan budaya kita ialah norma masyarakat yang, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Maksud Frasa: Sesuatu yang tahan diuji zaman (contoh: lagu-lagu Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan penyanyi era 70-an Datuk Andre Goh – anda pernah dengar? Boleh cuba dengar dari klip video di bawah)

11- Jangan ada di antara kita yang serba-serbi malas ibarat, “hidup segan, mati tak mahu"
Maksud Frasa: Keadaan yang melarat.

12- Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga; Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.

Ungkapan di atas menyerlahkan betapa pentingnya budi bahasa seseorang pada pandangan masyarakat.
Maksud Frasa: Budi bahasa adalah sesuatu yang terpuji dalam diri manusia.




Lagu Klasik Melayu "Di Kirim Jangan, Di Pesan Jangan".
Maksud Frasa: Usah dikenang lagi masa yang telah berlalu.
Dendangan Seniman Sepanjang Zaman; Andre Goh.
(Video dari ikhsan Mr.Cupan.)