Monday, October 24, 2011

SELAMAT HARI DEEPAVALI




Ucapan "Selamat Hari Deepavali" Khas Untuk Seluruh Warga MSAB Yang Beragama Hindu Teristimewa Untuk Puan S.Chitra Sekeluarga.


Saturday, October 22, 2011

BEKAS KAPTEN MSAB (2009) KINI DI UNIVERSITY OF CAMBRIDGE..Selamat Maju Jaya!





Amirul Hakim bin Noor Haizat yang merupakan bekas Kapten (Ketua Pelajar) Maktab Sultan Abu Bakar (2009) kini berada di University of Cambridge, London. Semoga beliau akan terus berjaya dan menjadi inspirasi kepada warga MSAB.

 EC MUST LEAD!







Friday, October 21, 2011

LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN SEMASA CUTI SAMBUTAN HARI DEEPAVALI


Adelaide Guided Bus-way. Imej daripada Isma, Adelaide Australia.




CONTOH KARANGAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGANGKUTAN AWAM.

Anda dikehendaki menulis satu karangan lengkap berpandukan kepada tajuk di atas, yang panjangnya tidak kurang daripada 180 perkataan.



Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam akan menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Namun pelbagai rungutan dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna di Malaysia.

Perkhidmatan bas awam yang pertama di Malaysia telah diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh “The Ipoh General Transport Company”. Kemudian Pulau Pinang pula memulakan sistem pengangkutan bas awamnya sendiri dengan syarikat Lim Seng OmniBus, ini telah juga diikuti oleh Selangor dengan Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus.

Perkara-perkara yang selalu menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat awam untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya. Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

Keselesaan adalah juga merupakan faktor penyumbang utama bagi dorongan orang ramai untuk memilih atau menolak perkhidmatan ini. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing.

Kepentingan sebuah bandar sebagai pusat aktiviti di mana ekonominya berorientasikan perkhidmatan kini semakin meningkat. Oleh kerana itu rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti di bandar. Telah jelas terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif dapat membantu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sesebuah Bandar, negeri dan juga negara.

Baik buruknya sesebuah perkhidmatan ini adalah sebenarnya di tangan pengguna itu sendiri. Rakyat dapat melakukan pelbagai perkara bagi menyumbang kepada pencapaian 25% penggunaan pengangkutan awam seperti yang telah di hasratkan oleh kerajaan pada tahun 2008.

Orang awam boleh membantu meluaskan kawasan perkhidmatan dan capaian masyarakat perkhidmatan bas 
wam dengan pelbagai cara. Bermulalah dengan permintaan kecil dan khusus: memohon perhentian bas baru, perkhidmatan lebih kerap dan kemudahan lampu yang lebih baik di sekitar perhentian dan stesen. 

Apabila membeli rumah baru, rakyat perlu bertanya kepada pihak pemaju mengenai rancangan kemudahan pengangkutan awam.Yang penting di sini, rakyat adalah diminta untuk meninggalkan kereta persendirian dan mula menggunakan pengangkutan awam. 

Langkah ini akan mampu mebawa kepada penjimatan bahan api petroliam dan akan juga membantu kepada penjimatan ekonomi kita semua. Sekali lagi, bermulalah dengan langkah kecil: cubalah perkhidmatan bas tempatan pada hujung minggu atau komited untuk menggunakan pengangkutan awam satu hari dalam seminggu. 

Seperti kata pepatah: “Kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya".

Tuesday, October 11, 2011

LATIHAN: CONTOH KARANGAN UNTUK SOALAN KERTAS 2 SPM.




LANGKAH-LANGKAH MEMPERKUKUHKAN DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA

Sejak krisis kewangan global yang tercetus di Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin ketara dan telah memberi impak negatif kepada ekonomi benar di peringkat global, termasuk juga Malaysia.  Perkembangan ini sudah pasti akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa. Namun, pelbagai langkah telah, sedang dan akan terus diambil oleh kerajaan demi untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia terpelihara dan terus dilindungi.  

Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar ini, kerajaan telah mengambil langkah "tindak-balas polisi" bagi menangani krisis kewangan global ini. Ke arah ini, dasar pengembangan fiskal dilakukan memandangkan Negara mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek serta program berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak akibat penurunan harga minyak di peringkat global. 

Melalui penjimatan yang dijangkakan ini, pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 billion akan dilaksanakan bagi memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta meransang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperolehi hendaklah dari sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang jelas dan utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat. 

Memahami hakikat ini, segala projek dan program yang dilaksanakan ini adalah selari dengan teras Misi Nasional dan juga selaras dengan strategi khusus kerajan dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Negara yang mapan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Semua ini memerlukan komitmen daripada kita semua rakyat Malaysia, bak kata pepatah: “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”.

Berpegang kepada prinsip pro-aktif ini, kerajaan sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan diperingkat sejagat. Seperti kata pepatah: “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, ketekunan dan kepakaran kerajaan dalam memelihara kedudukan ekonomi kita akan terus menjadi faktor utama dalam menjamin masa depan yang teguh untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Dengan memahami pergolakan ekonomi diperingkat serantau dan sejagat, kita mampu mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memajukan lagi ekonomi Malaysia. Kecekapan mentadbir ekonomi negara akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kita semua.

Tuesday, October 4, 2011

CONTOH KARANGAN CEMERLANG - Bahagian A

BUATAN MALAYSIA: PROTON TUAH



Berdasarkan gambar yang diberi, huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan.


Sejajar dengan landaan gelombang globasasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah mengapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-angungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak kata peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemasalahan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pameran kasut Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari segi kualiti barangan. Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekaligus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-angungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bagai kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan temptan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya ‘Malaysia Boleh’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara ‘kalau masih rebung,mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi’. Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Doktor Mahathir Mohammad, ‘membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.’ Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantera dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barang buatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya,kita dapat memajukan industri tempatan supaya mencapai hasrat negara menjadi negara industri.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak kata pepribahasa ‘bagai serampang dua mata’ dan ‘bagai makan menanak nasi’. Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama-lama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!